Navratnas Akbar Agung

Seperti pemerintah India yang lain, Istana Akbar turut mempunyai Navaratnas ("Sembilan Permata"), yang merujuk kepada sembilan orang yang amat istimewa. Mereka adalah:

Sebagai seorang pemerintah agung dan peminat bahan kesenian, Akbar telah memanggil ramai cerdik pandai menghadapnya. terdapat sembilan tokoh yang dikira sebagai berbakat dalam bidang mereka masing-masing, dan mereka dikenali sebagai "nau-rathan", atau Sembilan Permata. Akbar mengumpulkan ramai orang bijaksana, tetapi yang paling terkenal adalah ahli Sembilan Permata.

Abul Fazl (1551-1602) adalah pencatat perkembangan pemerintahan Akbar. Beliau telah menulis sebuah biografi bertajuk "Akbarnama", yang mengambil masa selama tujuh tahun untuk dilengkapkan. Beliau mencatatkan sejarah pemerintahan itu dengan terperinci, dan memberikan gambaran yang aman makmur semasa zaman Akbar. beliau juga menerangkan tentang betapa teratur dan bijaknya pemerintahan kerajaan Mughal di bawah naungan Akbar.

Feizi (1547-1595) adalah saudara Abul Fazl. Beliau merupakan seorang pemuisi, dengan tumpuan di dalam bahasa Parsi. Akbar amat menghormati tokoh ini sehingga melantiknya untuk menjadi guru kepada puteranya. Antara karya beliau ialah "Lilabati", berkenaan matematik.

Mian Tansen adalah seorang penyanyi yang tiada tolok bandingnya. Beliau dilahir ke dalam sebuah keluarga Hindu pada tahun 1520 berdekatan Gwalior. Bapanya bernama Mukund Mishra, yang merupakan seorang pemuisi. Mian Tansen menuntut ilmu muzik dengan bergurukan Swami Haridas dan Hazrat mohammad Ghaus. Beliau menjadi penghibur di istana putera negeri Mewar, dan kemudiannya dipanggil Akbar untuk berkhidmat di istananya pula, menyebabkan putera Mewar sedih dengan pemergian beliau. Tansen menjadi seorang yang terkenal di India dan telah menggubah banyak raga (ritma muzik) klasik. Raga Deepak dan Megh Malhar adalah antara yang termasyhur di India. Tatkala menyanyikan raga-raga ini, Tansen dikatakan suka menyalakan pelita dan mengakibatkan hujan turun. Beliau juga disebut sebagai orang yang mencipta raga Darbari Kanada dan menjadi pengasas cara nyanyian Drupad. Malah para Ghanara masa kini selalu cuba untuk meniru-niru cara klasik Mian Tansen. Beliau dikebumikan di Gwaliar, di mana sebuah makam telah kemudiannya dibina. Terdapat sebuah pohon asam bersebelahan makam itu, dan dikatakan adalah setua makam itu sendiri. Adalah menjadi kepercayaan penduduk tempatan bahawa sesiapa yang mengunyah sehelai daun pohon itu maka dia akan dikurniakan bakat dalam bidang muzik. Tidak dapat dipastikan sama ada Tansen memeluk Islam atau tidak, namun Akbar sangat berkenan dengan beliau sehingga menerima pangkat Mian. Anak beliau Billas Khan mengarang raga Bilaskhani Todi dan anak perempuannya pula Saraswati Devi menjadi seorang penyanyi Drupad yang dikenali ramai.

Birbal (1528-1583) adalah seorang Brahmin yang miskin, dan telah dilantik ke kementerian Akbar kerana kebijaksanaan dan daya fikirannya. Pada awalnya beliau bernama Maheshdas, tetapi dikurniakan nama Raja Birbal oleh Akbar. Baginda Akbar amat mempercayainya kerana kepandaian beliau, dan juga kerana beliau turut berbakat dalam menghiburkan baginda maharaja dan para menteri. Terdapat pelbagai kisah-kisah lucu dan cerdik berkenaan maharaja Akbar dan menteri-menterinya, dan kisah-kisah itu masih diceritakan sehingga masa sekarang. Cerita-cerita itu kebanyakannya mencabar minda dan berisi pengetahuan. Birbal juga adalah seorang ahli sastera dan kumpulan karyanya diselindungi dengan nama samaran "Brahma", dan masih disimpan di Muzium Bharatpur. Raja Birbal terbunuh di medan tempur dalam usaha menamatkan pemberontakan puak-puak Afghan di barat laut India. Terdapat suatu khabar yang mengatakan bahawa Akbar berkabung dalam tempoh yang agak lama setelah mendengar berita itu.

Raja Todar Mal adalah menteri kewangan Akbar, dan beliau bertugas untuk menguruskan pendapatan cukai negara sejak tahun 1560. Beliau memperkenalkan sistem piawai untuk penyukatan berat dan ukuran, hasil dapatan daerah, dan kepegawaian. Cara beliau yang teratur lagi sistematik berkenaan pengutipan cukai kemudiannya menjadi contoh kepada kerajaan Mughal dan British. Selain sebagai seorang menteri, beliau turut melibatkan diri sebagai seorang perwira, dan beliau pernah menyertai Akbar dalam perebutan Benggala dengan pemberontak Afghan. Raja Todar Mal belajar ilmu pemerintahannya daripada Sher Shah, seorang yang juga pernah menjadi seorang pentadbir. Kerana jasanya, Akbar memberikan darjat "Diwan-I-Ashraf" pada tahun 1582 kepada beliau.

Raja Man Singh pula adalah raja Kacchwaha di negeri Amber. (Kaum Kacchwaha kemudiannya menubuhkan Jaipur, berdekatan Amber). Laksamana ini yang amat dipercayai Akbar ialah cucu saudaranya. Keluarga baginda telah diberikan pangkat "amir" ketika dimasukkan ke dalam susun galur kerajaan Mughal. Raja Man Singh banyak berkhidmat kepada Akbar di dalam pelbagai medan tempur, termasuklah menghalang kemaraan Hakim (saudara tiri Akbar, dan wizurai di Kabyul) di Lahore. Beliau juga memimpin tentera untuk menawan Orissa.

Abdul Rahim Khan-I-Khan ialah seorang pemuisi, dan anak kepada penjaga Akbar semasa baginda kecil, Bairam Khan. Selapas Bairam Khan terbunuh akibat perbuatan khianat, isterinya menjadi isteri kedua Akbar.

Fagir Aziao Din dan Mullan Do Piaza merupakan dua penasihat di dalam kementerian Akbar.

Nama-nama lain turut disebut sebagai "permata" di dalam kerajaan Akbar. Antaranya adalah Daswant (pelukis), Abdu us-Samad (penulis khat atau kaligrafi), Mir Fathullah Shiraz (pedagang, ahli falsafah, doktor). Walaubagaimana pun, adalah diakui bahawa Akbar pernah mengumpulkan orang-orang yang bijaksana di dalam kesenian, pentadbiran, dan peperangan.

Rujukan

WikiPedia: Akbar Agung //scholar.google.com/scholar?q=%22Akbar+Agung%22 //www.google.com/search?&q=%22Akbar+Agung%22+site:... //www.google.com/search?as_eq=wikipedia&q=%22Akbar... //www.google.com/search?q=%22Akbar+Agung%22&tbm=nw... //www.google.com/search?tbs=bks:1&q=%22Akbar+Agung... http://www.storyofpakistan.com/articletext.asp?art... http://www.worldofbiography.com/9001-Akbar/ http://www.wsu.edu:8080/~dee/MUGHAL/AKBAR.HTM http://www.gutenberg.org/etext/14134 http://www.i3pep.org/archives/2004/11/12/akbar/